Kerja di pusat cuci kereta, 10 PATI berjaya diberkas pihak imigresen

Pegawai Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu telah menahan dua orang warga Myanmar yang sedang leka mencuci kenderaan di Kampung Binjai Rendah, Marang, Terengganu pada Isnin.

Menurut kenyataan dikeluarkan menerusi hantaran Facebook rasmi JIM Negeri Terengganu (JIMNT), pihak berkuasa berkenaan telah menyerbu pusat mencuci kenderaan tempat mereka bekerja.

“Mereka antara 10 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang berjaya diberkas dalam Ops Belanja, Ops Kutip, Ops Sapu dan Ops Minyak JIM Negeri Terengganu di sekitar Daerah Marang dan Kuala Terengganu pada 20 Mei 2024.

“Operasi ini dijalankan berdasarkan siasatan dan risikan Bahagian Penguatkuasaan JIMNT serta maklumat dari orang awam,” katanya.

Dalam pada itu, hasil daripada operasi tersebut sebanyak 10 premis dan 55 individu telah diperiksa dan dari jumlah tersebut seramai 10 orang PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“PATI yang ditahan melibatkan tiga orang warga Myanmar, seorang Indonesia dan enam orang warga Bangladesh.

“Sementara itu, 2 majikan turut dipanggil untuk diambil keterangan kerana kesalahan melindungi PATI dan akan didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002),” katanya lagi.

Justeru itu, JIM Negeri Terengganu menekankan bahawa sebarang maklumat yang diperoleh mengenai keberadaan PATI, boleh membaut aduan rasmi ke Bahagian Penguatkuasaan JIMNT menerusi talian di 09-6223425 atau enforce_trg@imi.gov.my serta identiti akan dirahsiakan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat