M.Kula Segaran rasmikan forum penggubalan Akta Keupayaan Mental

Forum mengenai cadangan penggubalan Akta Keupayaan Mental telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M.Kula Segaran pada Selasa.

Sehubungan itu, forum berkenaan seleras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperkasakan reformasi institusi dan sistem perundangan negara.

Beliau berkata, fokus utama forum tersebut adalah untuk memberi penjelasan mengenai konsep keupayaan mental individu.

“Ia secara tidak langsung seiring dengan prinsip ihsan yang diterapkan oleh Kerajaan MADANI dalam memperkasakan sistem perundangan negara dengan menggubal Akta Keupayaan Mental di Malaysia.

“Dalam masa sama, ia bertujuan untuk membantu dan membolehkan seseorang untuk melaksanakan tindakan persediaan awal bagi dirinya.

“Antaranya daripada aspek pengurusan harta, keputusan perundangan, hal ehwal perubatan dan lain-lain keputusan/pengurusan dengan mengguna pakai suatu Lasting Power of Attorney sekiranya seseorang itu menjadi tidak upaya dari segi mental (mentally incapacitated) pada bila-bila masa sepanjang hayatnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, forum berkenaan merupakan langkah pertama dan kerjasama kerajaan MADANI dengan pelbagai pihak berkepentingan swasta selain, bagi mencapai penggubalan Akta Keupayaan Mental yang holistik sesi libat urus serta bengkel penetapan dasar perlu dilaksanakan pada tahun ini.

Difahamkan, forum yang dianjurkan adalah hasil kerjasama strategik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) bersama Medico-Legal Society of Malaysia yang memfokuskan keadaan masyarakat yang akan menghadapi fasa populasi penuaan (ageing population).

Baca juga: