Maritim rampas 61 set bubu naga di perairan negeri Perak

Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Perak merampas 61 set bubu naga atau bubu kamban di kedudukan sekitar 1.6 batu nautika dari Pantai Remis, Perak pada pukul 3.10 petang hari Isnin.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bubu tersebut dikesan ketika rondaan rutin anggota Maritim yang menemukan bendera berwarna merah dan putih serta botol minuman yang dijadikan pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di lokasi terbabit.

“Tinjauan secara dekat mendapati bendera tersebut merupakan penanda kepada bubu naga ini dipadang oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“61 set bubu naga yang dirampas termasuk dengan rampasan yang dilakukan di kedudukan 1.8 batu nautika dari barat daya Pulau Talang pada Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Shukri berkata kesemua bubu naga yang dirampas bernilai lebih RM4,000 itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, pemilik bubu naga tersebut boleh didakwa dibawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jika disabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, pihak maritim turut menyeru orang ramai untuk berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menghubungi talian MERS atau mana-mana pusat operasi maritim negeri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat