Sekolah latihan parti pemerintah di China jadi tonggak pembangunan

Pepatah lama Cina berbunyi “bagi menggali sumur, mulakan dengan menggali lubang yang cetek dan akhirnya kamu akan memperoleh sumur yang dalam.”

Pepatah ini diambil daripada sebuah buku yang ditulis sekitar 1500 tahun yang lalu, “Liu Zi · Chong Xue,” yang membawa maksud perjalanan yang panjang bermula dengan satu langkah.

Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah dibawa ke salah sebuah sekolah parti pemerintah negara China yang terkemuka di negara itu yang terletak di wilayah Shaanxi, China.

Nilai sejarah dan teori pengurusan

Sekolah-sekolah Parti di China mematuhi piawaian politik, akademik, pengajaran dan pengurusan yang ketat dan berfungsi sebagai penghalang terhadap salah laku untuk membina kesedaran Parti seterusnya menjadi pemangkin dalam melaksanakan tadbir urus Parti yang ketat.

China telah menubuhkan sekolah latihan parti di setiap Cabang dan Ranting untuk mereformasi proses perolehan bakat dengan menerapkan nilai-nilai murni yang mendahulukan rakyat dan membina parti.

Sekolah tersebut juga mampu untuk memupuk bakat daripada segi rohani dan jasmani, di samping bagi memastikan semua ahli dapat memahaminya secara menyeluruh dan mempraktikkan amanat Presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping.

Sekolah Parti sebagai ‘melting pots’

Xi menggelar sekolah Parti sebagai ‘melting pots’ (periuk lebur) yang dapat membina kesedaran para pegawainya.

Institusi tersebut mesti membimbing pegawai untuk terus meningkatkan tahap pemikiran dan moral mereka supaya dapat membangunkan pandangan yang betul terhadap kuasa untuk melaksanakannya dengan baik.

Di mana setiap barisan kepimpinan parti termasuk pegawai bawahan wajib untuk menjalani proses latihan yang amat ketat supaya kualiti pemimpin yang dilahirkan dapat terjaga dengan sempurna.

Parti juga mempunyai sistem demerit, di mana ahli yang culas untuk hadir ke sesi latihan atau mesyuarat akan ditolak markah yang akhirnya akan digugurkan daripada senarai ahli pimpinan.

Pada masa yang sama, mereka juga mampu memperkasakan kualiti barisan pimpinan yang ditonjolkan termasuk pemimpin pelapis dengan pengenalan sistem denda-ganjaran.

Peremajaan negara

Sekolah parti ini dapat memupuk pegawai yang disesuaikan dengan keperluan semasa parti bagi menyumbang sumbang saran serta cadangan mengenai isu-isu utama yang menjadi perhatian.

Sumbangan proaktif kepada para pegawainya diyakini mampu untuk memikul tanggungjawab peremajaan negara.

Kini, landskap pendidikan dunia semakin pantas mengejar arus pemodenan dengan pendekatan pembelajaran secara konvensional memerlukan lonjakan evolusi sejajar perubahan teknologi hari ini.

Oleh itu, sekolah parti ini juga bertujuan untuk membantu ahli parti daripada segi inovasi saintifik, kemahiran teknologi dan pendigitalan ekonomi iaitu e-dagang.

Kepesatan industi pendidikan di Malaysia dengan kerjasama China

Biarpun, sistem pendidikan di Malaysia sudah mengorak langkah dalam pembaharuan ke arah arus pemodenan dan pendigitalan, masih terdapat ruang lompong yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan agar tidak keciciran dengan kepesatan industri pendidikan dunia.

Dilaporkan pada 16 Januari lalu, sebanyak 17 institusi Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) di China bersetuju dan bersedia untuk bersama dalam Malaysia-China Institute (MCI).

Komitmen yang dizahirkan oleh Institusi TVET China terhadap penubuhan MCI itu adalah dengan menawarkan sebanyak 2,000 kuota latihan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET Malaysia.

Kuota latihan yang diberikan itu dalam pelbagai bidang khususnya berkaitan Kenderaan Elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

Latihan dan peningkatan kemahiran itu perlu diberikan perhatian serta penekanan semua pihak termasuk kerajaan dan pemain industri supaya pembangunan modal insan tenaga buruh di negara ini tidak ketinggalan, mampu bergerak seiring arus perubahan teknologi.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/05/16/usaha-keadilan-selami-transformasi-ekonomi-china-disokong-sepenuhnya

Anda Mungkin Berminat