Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak kira-kira enam batu nautika dari barat Pantai Alit, Kabong, Sarawak pada malam hari Selasa.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggal Numpang berkata bot tersebut ditahan dalam rondaan rutin Op Permai dan Op Tiris 3.0 yang dilaksanakan sekitar perairan Kabong.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh lima kru termasuk tekong warga tempatan dalam lingkungan umur 25 hingga 42 tahun.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti menunda pukat kurang 10 batu nautika dari pantai,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Gilbert turut menyatakan bot dan kru yang ditahan dibawa ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia turut menyeru orang ramai untuk mematuhi segala peraturan dan undang-undang perairan negara dan melaporkan sekiranya terdapat maklumat mengenai salah laku yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Baca juga: