Nasional

28,000 syarikat pengangkutan darat lulus SKDS 2.0 – KPDN

Sejumlah 28,000 syarikat pengangkutan darat telah mendaftar dan mendapat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 sehingga 22 Mei 2024.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, hampir 90,000 fleet card telah dikeluarkan oleh lima syarikat minyak utama kepada syarikat-syarikat pengangkutan yang layak sejak KPDN membuat pengumuman pada 7 Mac lalu.

“Sesi Penyerahan Fleet Card SKDS 2.0 kepada 15 syarikat pengangkutan darat bersama wakil syarikat minyak ini melibatkan pelbagai jenis kenderaan seperti Lori Rigid – Kargo Am, Lori Rigid Luton/ Kotak, Panel Van, Lori Rigid Refrigerated dan Penggerak Utama.

“Syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan di bawah SKDS juga dinasihati untuk terus membuat permohonan fleet card melalui syarikat minyak pilihan secara atas talian di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/portal/contact,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, KPDN turut menyenaraikan kriteria-kriteria permohonan yang perlu dipenuhi oleh syarikat antaranya, syarikat hendaklah berdaftar perniagaan di Malaysia, kenderaan perlu mempunyai cukai jalan yang sah dan berkuatkuasa; dan kenderaan yang layak di bawah SKDS 2.0 sahaja.

Selain itu, KPDN juga telah meneraju pelaksanaan tadbir urus subsidi diesel dengan kadar harga khas berbeza dengan harga runcit di stesen-stesen minyak.

“Pertambahan dalam fasa II ini menjadikan keseluruhan kenderaan barangan yang layak untuk mendapatkan diesel bersubsidi di bawah SKDS 2.0 adalah sebanyak 23 jenis kenderaan barangan.

“Sebarang pertanyaan untuk maklumat lanjut berkenaan perkara ini boleh diperolehi melalui Pusat Panggilan Sistem MySubsidi Diesel di talian 03-8882 6769 bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang pada hari bekerja.

“Pihak Kementerian merakamkan penghargaan kepada syarikat-syarat minyak yang terlibat atas komitmen tinggi untuk melancarkan proses pelaksanaan SKDS termasuk penyediaan fleet card yang mencukupi dalam masa yang singkat,” ujarnya.

Difahamkan, perluasan SKDS merupakan pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close