Nasional

Anwar sedia pimpin ASEAN ke arah kestabilan, kemakmuran

Malaysia menegaskan komitmennya untuk mengukuhkan kepimpinan dan kerjasama serantau dalam menghadapi cabaran global yang semakin meningkat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam suatu hantaran Facebook menyatakan terima kasih di atas peluang menyampaikan ucaptama di Persidangan Nikkei (Masa Depan Asia) ke-29, Tokyo pada Khamis.

Anwar menekankan bahawa perdagangan, pelaburan dan teknologi kini sering digunakan sebagai senjata dalam persaingan antara kuasa dunia, sekali gus menjejaskan negara-negara membangun.

Justeru, sebagai persiapan untuk memegang jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan, Malaysia komited untuk memperkuatkan kerjasama ekonomi serantau dan mengurangkan perbezaan dalam negara-negara ASEAN.

“Saya juga menggariskan antara usaha lain diambil Malaysia ialah memanfaatkan aliran masuk pelaburan langsung asing dan kepelbagaian rantaian bekalan global untuk pembangunan yang lebih seimbang.

“Turut saya tekankan kepentingan solidariti dan kerjasama di kalangan negara-negara Asia untuk mencapai masa depan yang aman, stabil dan makmur,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru kepada tindakan kolektif untuk menghadapi perubahan ekonomi, teknologi, dan geopolitik yang pesat.

Dalam pada itu, semasa sesi soal jawab, beliau turut disoal mengenai pertemuan bersama dengan pemimpin Hamas ketika lawatan di Qatar baru-baru ini.

Anwar menegaskan dalam pertemuan tersebut tidak timbul soal mempromosi keganasan sebaliknya sebagai sahabat sejak beberapa dekad lalu.

“Peluang itu saya gunakan untuk merayu kepada Ismail Haniyeh untuk mematuhi seruan perdamaian, menerima penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin, serta pertukaran tawanan.

“Saya turut menjawab persoalan mengenai tindakan Amerika Syarikat yang tidak menggunakan pengaruh mereka dalam memperjuangkan krisis kemanusiaan sebaliknya terus mempromosi pembantaian dan penghapusan rakyat Palestin,” jelasnya.

Related Articles

Check Also
Close