Malaysia berjaya menempah slot ke pentas akhir Malaysia Masters 2024 dalam kategori beregu campuran selepas dua wakil negara mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing pada Jumaat.
Perkara itu telah rasmi disahkan apabila pasangan regu campuran badminton negara , Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan menundukkan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam aksi straight set 19-21, 14-21.
Pertembungan yang berlangsung pada sebelah pagi di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan, Kian Meng-Pei Jing memberikan tentangan hebat kepada pasangan pilihan utama kejohanan itu, namun, ia tidak cukup untuk menghentikan rentak kemenangan mereka apabila tewas, 19-21.
Set kedua, Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan sebarang masalah apabila menang dengan mudah ke atas pilihan ke lapan kejohanan itu dengan mendapat keputusan, 14-21, dalam tempoh 39 minit.
Mereka dijadualkan bertemu rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie setelah gandingan negara itu menewaskan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi rubber set.
Seterusnya, set pertama menyaksikan pasangan negara kerap melakukan kesilapan dan masih mencari rentak permainan sebelum tewas dengan, 12-21, di tangan pasangan muda dari Indonesia itu.
Namun, kekalahan tersebut tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit dengan menang, 21-17, sekaligus menyeret permainan ke set penentuan.
Justeru itu, pasangan regu campuran negara berjaya mempamerkan aksi garang sebelum menoktahkan kemenangan, 21-17, selepas berhempas pulas selama 47 minit.
Baca juga :