Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei hingga 2 Jun 2024 dan Hari Gawai pada 29 Mei hingga 4 Jun 2024.
SHMMP berkenaan akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi membolehkan penentuan harga dibuat.
Antara barangan harga terkawal bagi musim perayaan Pesta Kaamatan 2024 adalah kepak ayam; daging kerbau import (India); bawang merah kecil (India); bawang putih (China); cili kering keriting; daging babi (perut); daging babi (daging dan lemak); dan babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja).
Seterusnya, bagi musim perayaan Hari Gawai 2024 adalah ayam tua hidup; kepak ayam; bawang putih (China); kubis bulat import (Indonesia, China tidak termasuk kubis Beijing); cili kering keriting; daging babi (perut); daging babi (daging dan lemak); dan babi hidup (harga maksimum di peringkat ladang sahaja).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, harga maksimum yang telah ditetapkan untuk skim tersebut di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman sesawang KPDN di www.kpdn.gov.my.
“Pegawai-Pegawai Penguat Kuasa KPDN di seluruh negara akan melaksanakan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan.
“Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap aduan pengguna sekiranya berlaku ketidakpatuhan,” jelasnya menerusi kenyataan KPDN.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan- peraturan di bawah skim itu melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Manakala bagi syarikat pula, boleh didenda sehingga RM500,00 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya.
Justeru itu, kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi harga terkawal, individu boleh didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat, manakala, syarikat boleh didenda RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Baca juga: