KPM perkasa pendidikan khas dengan Karnival Mini Transisi ke Kerjaya PPKI

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terus memperkasakan pendidikan khas dalam negara dengan penganjuran Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Perlis, Kangar pada Jumaat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah merasmikan program berkenaan yang bertujuan memupuk semangat anak-anak berkeperluan khas melalui pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, simulasi permainan, uji bakat dan pameran kerjaya.

Karnival tersebut mendapat sambutan hangat dengan kehadiran ramai pelajar dan guru dan Fadhlina bersama pengurusan tertinggi KPM meluangkan masa melihat hasil kerja tangan murid-murid dan merasa teruja serta bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh mereka.

Antara salah satu acara utama dalam karnival ini adalah perasmian ruangan ‘Inspired Space’, yang berfungsi sebagai wahana terapi bagi murid-murid berkeperluan pendidikan khas.

“Dalam negara bertuah ini, semua pihak memainkan peranan dalam menyediakan ruang dan peluang kepada setiap golongan termasuk murid berkeperluan pendidikan khas, untuk mendapat akses pendidikan yang sewajarnya,” ujar Fadhlina dalam kenyataan pada Sabtu.

Fadhlina turut menzahirkan harapan agar penganjuran karnival seperti ini dan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pusat, diharapkan pendidikan khas di Malaysia akan terus berkembang dan memberikan manfaat besar kepada anak-anak berkeperluan khas.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengadakan pertemuan dengan beberapa orang pemimpin bidang pendidikan negeri Kedah sempena lawatan kerjanya di Perlis untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan pendidikan di Negeri Kedah serta melaporkan inisiatif Kerajaan Negeri dalam menyokong aspirasi pendidikan negara melalui program usaha sama dengan pelbagai sektor di Kedah.

Antara yang hadir dalam pertermuan tersebut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Negeri Kedah, Mohd Azam Abdul Samat serta rombongannya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Kedah, Salim Mahmood; Setiausaha Lembaga Maktab Mahmud, Mohd Shazarulazwan Sarip; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Syeikh Hasbullah Md Mukhtar; Ketua Pengurusan Akademik Lembaga Maktab Mahmud Mohd Asri Saad serta beberapa pegawai lain

Baca juga: