Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesir dan Türkiye untuk lawatan kerja dari 27 Mei hingga 1 Jun 2024.
Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi satu kenyataan pada Ahad berkata, forum tahunan anjuran Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu bertujuan untuk meneroka potensi pertumbuhan minyak sawit di rantau Afrika Utara.
Dalam ucaptamanya di forum itu, Johari dijangka menonjolkan peningkatan permintaan global bagi minyak masak dan terbitannya, serta komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit yang mampan.
Di samping itu, beliau akan bertemu Menteri Perdagangan dan Industri Mesir dan Menteri Bekalan dan Perdagangan Dalaman untuk mengukuhkan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara. Beliau juga akan bertemu dengan pemimpin perniagaan dalam industri minyak sawit.
Seterusnya, Johari akan melawat Türkiye di mana beliau dijadualkan bertemu Menteri Perdagangan negara itu pada 31 Mei.
“Objektifnya adalah untuk mengukuhkan kerjasama dan mengenal pasti peluang perniagaan baharu antara Malaysia dan Türkiye dalam sektor minyak sawit.
“Türkiye ialah destinasi penting untuk eksport minyak sawit Malaysia, menjadikan mesyuarat ini amat penting bagi Malaysia,” katanya.
Difahamkan, beliau turut dijadual merasmikan Forum Minyak Sawit Malaysia Mesir 2024 di Kaherah pada 28 Mei.
Baca juga: