Pihak MYTV Broadcasting Sdn Bhd telah menggantung siaran stesen televisyen swasta, Awesome TV di platfrom MYTV yang bermula pada Ahad.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas menerusi kenyataan yang dikongsikan di laman Facebook rasmi Awesome TV, beliau mengulas berkenaan perkara tersebut.
“Kami merujuk kepada notis pemberitahuan dimuat naik MYTV Sdn Bhd di laman Facebook rasminya berkenaan penggantungan siasaran Awesome TV saluran 112 platform MYTV bermula pada pukul 12.01 pagi pada 26 Mei 2024.
“Awesome TV ingin menjelaskan bahawa pihak kami telah menfailkan permohonan semakan rayuan di mahkamah rayuan dan masih belum ada keputusan.
“Selain itu, Awesome TV turut menfailkan rayuan kepada tribunal rayuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan masih menunggu keputusan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, perkara tersebut masih di peringkat mahkamah dan sedang menunggu keputusan akhir, oleh itu, tindakan MYTV Sdn Bhd untuk menggantung Awesome TV adalah tidak beretika serta menyalahi undang-undang.
Sementara itu, MYTV Sdn Bhd telah mengeluarkan satu makluman kepada umum menerusi akaun Instagram rasmi mereka berkenaan penggantungan siaran di platform MYTV.
Pengumuman tersebut diikuti bersama permohonan maaf di atas segala kesulitan buat penonton setia di platform MYTV.
Baca juga: