Sebanyak 25 set bubu naga atau bubu kamban dirampas Maritim Negeri Perak di kedudukan sekitar 0.7 batu nautika dari timur laut Pulau Talang kira-kira pukul 5.40 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri berkata, kesemua bubu itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika rondaan melalui penemuan bendera serta botol minuman yang dijadikan pelampung yang diikat pada pancang kayu di lokasi terbabit.

“Tinjauan secara dekat mengesahkan objek yang terapung itu merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Kesemua bubu naga itu dianggarkan bernilai hampir RM2 ribu dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jelas Mohamad Shukri, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Individu yang melakukan kesalahan tersebut akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Sebarang maklumat terhadap pelanggaran undang-undang di laut, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.
Baca juga: