Pasukan MOSAR JBPM Sabah ke China, kongsi ilmu pengurusan bencana

Pasukan mencari dan menyelamat Gunung Kinabalu elit (MOSAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah telah dijemput Perikatan Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (ISARA) bagi mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Perukaran Teknologi Menyelamat Tali Gunung Awan ke-4 di Yunnan, China pada 21 hingga 25 Mei 2024.

Menurut Setiausaha Agung ISARA Asia, Simon Chin Yau Ming menyatakan program tersebut memainkan peranan penting khususnya buat pasukan Bomba Negeri Sabah.

“Sidang kemuncak ini sangat penting dalam sejarah mencari dan menyelamat China. Ia menandakan era baharu kerjasama antarabangsa dan perkongsian pengetahuan dalam pengurusan bencana.

“Menyelamat gunung ialah operasi teknikal yang memerlukan sistem dan kemahiran lanjutan untuk memastikan keselamatan kedua-dua pasukan penyelamat dan individu yang diselamatkan.

“Sidang itu jelas memberi banyak pendedahan kepada JBPM negeri Sabah khususnya kepada MOSAR dalam segi menyelamat tali dan hal-hal penyelamat teknikal,” jelasnya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Acara itu merangkumi bandar Shangri-La di bandar autonomi Tibet dan Bandar Zhaotong dan turut disertai beberapa negara termasuk Malaysia, Thailand, Perancis, Laos dan penganjur China.

Malaysia diwakili tiga pegawai JBPM Negeri Sabah yang diketuai Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, PPgB Ridwan Mohd Taib serta dua anggotanya Jimmy Alexius dan Reason Justin.

Sidang kemuncak itu turut menandakan detik bersejarah kerana buat pertama kalinya China membenarkan agensi daripada luar negara memasuki Pusat Latihan Bomba dan Penyelamat Negara mereka.

Baca juga :