Seorang cedera dalam kebakaran tujuh unit bangunan kilang di Jalan Bahagia 4, Taman Perindustrian Dato Yunus Sulaiman, Lima Kedai, Gelang Patah, Johor pada pukul 6.37 petang hari Isnin.
Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PgKB II Rosfarawadi Ismani Ismail melaporkan mangsa yang merupakan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah diberikan rawatan awal oleh anggota unit EMRS dan berjaya diselamatkan.
“Kebakaran tujuh unit kedai tersebut berjaya dikawal pada pukul 6.50 petang dengan teknik defensive dan offensive serta pemadaman menggunakan foam.
“Saksi kejadian menyatakan kebakaran tersebut bermula dari bahagian gudang kilang tersebut yang mengandungi bahan-bahan mudah terbakar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Operasi pemadaman itu melibatkan 50 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, BBP Iskandar Puteri, BBP Larkin, BBP Pontian Baru dan BBP Kota Tinggi.
Pemadaman tersebut menggunakan sebanyak tiga jentera FRT, dua jentera water tanker, sebuah jentera ALP, sebuah jentera LFRT, sebuah jentera CFRT, sebuah kenderaan Unit EMRS serta turut dibantu oleh dua buah jentera daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Senai dan Kulai Besar.
Turut hadir di lokasi, Pengarah JBPM Negeri Johor, PKPjB Siti Rohani Nadir untuk memantau kerja-kerja pengoperasian tersebut dijalankan.
Baca juga: