Waspada panggilan individu menyamar sebagai pegawai MCMC

Orang ramai diingatkan agar berwaspada dengan panggilan mencurigakan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

MCMC dalam satu kenyataan berkata, modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa bagi tujuan tertentu dan pemanggil akan mengancam dengan menyatakan terdapat aduan terhadap talian digunakan serta mendakwa mangsa telah melakukan kesalahan.

Katanya, sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian mereka akan disekat atau disenarai hitam.

MCMC menegaskan sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan suruhanjaya itu lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang atau platform media sosial miliknya dan pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat perbankan peribadi individu.

Justeru, MCMC berkata orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mendapatkan pengesahan sewajarnya serta jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali dan jangan memindahkan wang kepada akaun yang diragui.

Selain itu, MCMC berkata orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS (khidmat pesanan ringkas) ke talian telefon yang dimiliki.

Orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan berhubung penipuan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian Hotline 997 yang beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam untuk tindakan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat