Pemegang visa lawatan pelbagai kategori tidak akan dibenarkan masuk atau berada di Makkah bermula 15 Zulkaedah bersamaan 23 Mei lalu sehingga 15 Zulhijjah bersamaan 21 Jun depan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, tindakan itu selaras larangan pemegang visa lawatan menunaikan haji.
“Pelawat yang kini berada di Arab Saudi dengan visa lawatan digesa mengelak perjalanan ke Makkah dalam tempoh ditetapkan.
“Mereka yang melanggar arahan akan dikenakan hukuman mengikut peraturan ditetapkan kerajaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan disiarkan Saudi Press Agency.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah keselamatan diambil kementerian bagi memastikan keselamatan jemaah haji yang sah, selain membolehkan jemaah melakukan ibadat dengan mudah dan selesa.
Sebelum ini Kementerian Dalam Negeri di negara berkenaan mengumumkan, ia akan mula mengenakan denda berjumlah SR10,000 (RM12,514) ke atas individu yang melanggar peraturan tidak terkecuali warga Arab Saudi, selain ekspatriat dan pelawat yang ditahan memasuki Makkah tanpa permit haji dalam tempoh 2 Jun hingga 20 Jun . – Agensi