Wartawan dan pengamal media memainkan peranan besar dalam proses membina negara, khususnya membantu menyebarkan apa jua dasar, inisiatif serta program kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang disambut pada 29 Mei setiap tahun.
“Bertemakan ‘Etika Teras Kewartawanan Mapan’, ia harus dijadikan peringatan kepada wartawan dan pengamal media akan pentingnya memelihara etika laporan dan penyampaian.
“Para wartawan perlu berintegriti dalam memastikan maklumat yang dipaparkan adalah sahih, bermanfaat, serta bertanggungjawab terhadap berita yang dikongsi dan bukan sekadar ‘click-bait’ semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Ia terutama sekali pada era digital masa kini dimana segalanya boleh diakses di hujung jari yang juga merupakan cabaran bagi para wartawan dan pengamal media.
Namun, Fadillah menyatakan keyakinan bahawa para wartawan mampu mendepani apa jua cabaran mendatang, sekaligus memastikan industri media di negara ini tetap kekal relevan dan menjadi pilihan.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua wartawan di seluruh negara.
“Komitmen anda semua dalam memastikan bahan berita itu sampai kepada khalayak rakyat dalam apa jua keadaan sekalipun, berhujan berpanas, baik dalam bahaya mahupun sukar, menjadikan anda perwira yang kami sanjungi.
“Sesungguhnya, ndalah antara pejuang dalam membentuk masyarakat berilmu dan berwawasan menerusi penyampaian berita bermaklumat yang benar dan sahih,” katanya dalam kenyataan.
Fadillah dan Nancy turut menitip doa buat para wartawan dan pengamal media, mengharapkan agar mereka terus cekal dan tabah, serta sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Baca juga: