DBKL sita, pindah 35 premis perniagaan di lima kawasan Parlimen di Kuala Lumpur

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), melakukan Tindakan Khas Mega Pindah Halangan Tred Perniagaan dan Penjaja Warga Asing di sekitar Kuala Lumpur pada malam Rabu.

DBKL melaksanakan tindakan sita dan memindah barang tersebut dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan bersama kerjasama Pejabat Cawangan Seputeh, Pejabat Cawangan Batu, Pejabat Cawangan Setiawangsa, Pejabat Cawangan Bukit Bintang dan Pejabat Cawangan Titiwangsa.

“Sejumlah 35 buah premis dan pemilik aktiviti perniagaan yang melibatkan kesalahan halangan tempat dijatuhkan hukuman kesalahan dibawah Seksyen 46 dan turut dikenakan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 termasuk 2 tindakan sita diambil ke atas penjaja bukan warga negara yang menjalankan perniagaan secara haram.

“DBKL turut mengeluarkan 1 notis kompaun dibawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 (penjaja tanpa lesen warga tempatan) dan 1 notis kompaun di bawah UUK 22, Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (melantik pembantu gerai warga asing).

“Penguatkuasaan khas ini dilaksanakan secara serentak di 5 parlimen melibatkan kawasan tumpuan dan premis perniagaan yang telah dibuat pemeriksaan dan pengeluaran notis pemberitahuan kesalahan sebelum ini,” ujar DBKL menerusi satu kenyataan di Facebook.

Tindakan Pemeriksaan dan tindakan sita, pindah halangan dan kompaun serta merta turut dikenakan terhadap premis-premis penjajaan makanan minuman, kenderaan saji (food truck), perniagaan sayuran, buah-buahan dan barangan am yang membuat halangan tempat awam.

Kesemua barangan dan peralatan yang di sita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Taman Miharja Cheras.

Baca juga :

Anda Mungkin Berminat