Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) berjaya merawat kira-kira 2.97 bilion meter padu air buangan sisa kumbahan setiap tahun melalui konsep ekonomi linear.
Perkara tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang memuji pencapaian tersebut dimana beliau turut menekankan transformasi penting yang dilakukan oleh IWK sejak 2015 dalam mempelopori model ekonomi kitaran.
“IWK telah mempelopori penggunaan semula bi-produk air kumbahan sebagai sumber air alternatif dan tenaga baharu dengan menjalankan penggunaan semula bio-pepejal sebagai baja organik.
“Dengan penghasilan kira-kira 80,000 tan biopepejal setiap tahun, langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembuangan sisa di tapak pelupusan, tetapi juga menawarkan alternatif yang kos efektif dan mampan berbanding baja sintetik,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Fadillah turut memaklumkan IWK telah melangkah ke arah penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dengan mengaplikasikan tenaga solar PV di kira-kira 396 tapak loji.
“Sasaran penghasilan tenaga solar ini adalah sebanyak 21,500 MWh setahun, yang diharapkan dapat menjimatkan kos sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027.
“Segala inisiatif-inisiatif mampan ini sememangnya selaras dengan usaha dan komitmen negara untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun Indah Water Konsortium Sdn Bhd ke-30 (IWK30) di IWK Eco Park pada Khamis.
Majlis sambutan ulang tahun ini bukan sahaja meraikan pencapaian IWK sepanjang tiga dekad, tetapi juga mengukuhkan komitmen mereka dalam meneruskan usaha-usaha inovatif dan mampan demi masa depan yang lebih hijau dan lestari.
Baca juga: