Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) merujuk kepada situasi ketibaan pekerja asing yang tinggi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 dan Terminal 2.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, kadar kemasukan pekerja asing adalah disebabkan oleh tindakan majikan yang membawa masuk pekerja mereka pada saat akhir menjelang 31 Mei 2024.
“Ini berikutan kerajaan telah menetapkan 31 Mei 2024 sebagai tarikh akhir kepada majikan untuk membawa masuk pekerja asing mereka.
“Selain daripada itu, setiap pekerja asing yang masuk ke Malaysia perlu melalui proses semakan dan pengesahan pemeriksaan kesihatan mereka di KLIA,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, perbandingan mengikut keadaan biasa, ketibaan harian pekerja asing adalah di antara 500 hingga 1000 orang dan bilangan tersebut meningkat sehingga 2500 orang sehari yang direkodkan pada 22 Mei 2024, manakala, pada 27 Mei 2024 telah meningkat sehingga 4000 hingga 4500 orang sehari.
“Berdasarkan maklumat, JIM menjangkakan bilangan ketibaan akan terus meningkat sehingga 31 Mei 2024 kerana syarikat penerbangan akan meningkatkan jumlah penerbangan mereka bagi memenuhi permintaan.
“Bagi menguruskan situasi ini, JIM dengan kerjasama Airports Holdings Berhad telah mengambil langkah segera untuk membendung kesesakan ini bagi memastikan keselesaan para penumpang lain di KLIA terjamin,” katanya lagi.
Justeru itu, jabatan akan terus memantau dan menambah baik situasi tersebut dan menggesa para majikan untuk memberikan kerjasama penuh dengan hadir segera bagi menyelesaikan proses pemeriksaan imigresen pekerja mereka.
Baca juga: