Umur bukan penghalang, Zhafri Yahya idam sertai skuad akhir Harimau Malaya

Pemain pasukan Kuala Lumpur City, Zhafri Yahya mengharapkan mampu mempamerkan aksi terbaik sekali gus dapat memperoleh kepercayaan daripada Ketua Jurulatih Negara, Kim Pan Gon selepas dipilih menyertai skuad kebangsaan bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pada Khamis.

Pemain berusia 29 tahun itu, mengulas demikian ketika disoal pihak media mengenai kemunculan pertamanya di skuad kebangsaan selepas sesi latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

“Saya datang sini, saya nak buat yang terbaik untuk diri saya, karier saya dan saya mengharapkan saya dapat membuat yang terbaik sekaligus mendapat kepercayaan daripada jurulatih untuk skuad akhir nanti.

“Bagi saya, setakat ini dari segi persediaan dalam keadaan rapi, tenang dan skuad kebangsaan ketika ini sedang memberi fokus kepada pemain-pemain yang sedia ada.

“Setakat ini, saya sudah memahami apa yang jurulatih mahu sampaikan terutama mengenai taktikal-taktikal kepada pemain-pemain baru dalam skuada kebangsaan termasuk saya,” jelasnya.

Sebelum ini, Zhafri Yahya dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menggantikan tempat penyerang Kedah Darul Aman FC, Syafiq Ahmad yang mengalami kecederaan.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan turun beraksi menentang Kyrgyzstan bagi aksi perlawanan kelima Kumpulan D pada Khamis, 6 Jun ini di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek sebelum kembali ke tanah air bagi perlawanan keenam menentang Chinese Taipei yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil 11 Jun ini.

Perlawanan tersebut memainkan peranan penting buat Skuad Harimau Malaya menempah tiket automatik untuk layak ke Piala Asia 2027 sekali gus melayakkan diri ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.

Baca juga :

https://malaysiabangkit.com/2024/05/31/lelaki-maut-selepas-bertembung-treler-di-felda

Anda Mungkin Berminat