Nasional

Isu OKU dipukul: AMK gesa IPCMC ditubuhkan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa supaya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah laku Polis (IPCMC) ditubuhkan bagi mengekang salah laku polis susulan insiden membabitkan seorang pemandu e-hailing yang mendakwa dipukul seorang pengawal pengiring rombongan kenamaan baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Farah Ariana Nurazam berkata, ini kerana peruntukan yang terkandung dalam Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang sedia ada ketika ini dilihat masih lemah.

Menurutnya, insiden membabitkan pemandu e-hailing yang juga orang kurang upaya (OKU) turut menjejaskan integriti serta kepercayaan rakyat terhadap pihak PDRM dalam memastikan kesejahteraan dan membela nasib mereka yang tidak mempunyai kuasa atau pengaruh besar.

“Sudah tiba masanya Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) ditubuhkan segera bagi mengekang salah laku polis dengan lebih efektif dan mempromosikan integriti yang lebih utuh dalam kalangan pihak polis berbanding IPCC sedia ada yang jauh lebih lemah peruntukan didalamnya.

“Nilai keadilan dan ketelusan mestilah dipupuk dalam setiap proses membuat keputusan dan mestilah berlandaskan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, seorang pemandu OKU membuat laporan polis berkenaan dakwaan dipukul tidak sepatutnya diberi layanan seolah-olah suspek.

Mangsa juga dikhabarkan melalui tekanan dari pihak berkuasa untuk bersetuju ‘menyelesaikan’ kes dan menerima ganti rugi jika tidak mahu telefon bimbitnya dirampas pihak polis. 

Tambah Farah, pilihan yang diberi amat tidak masuk akal mengambil kira mangsa perlu bergantung kepada telefon bimbit untuk meneruskan pekerjaannya sebagai pemandu Grab.

Justeru, AMK turut bersimpati dengan nasib yang ditimpa mangsa dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan pelaku dan semua yang terlibat dalam insiden ini.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close