Kesemua anggota Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy Malaysia berjaya dibawa keluar dari Rafah

Kementerian Luar Negeri (KLN) mengesahkan kesemua enam anggota Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy Malaysia (EMT) telah berjaya dibawa keluar dengan selamat dari Rafah, Gaza, Palestin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KLN, proses pemindahan dilakukan secara berperingkat, dengan sebahagian ahli EMT dipindahkan pada 23, 24, dan 28 Mei lalu dan kumpulan terakhir yang terdiri daripada dua anggota, dibawa keluar pada 31 Mei.

“Kementerian amat menghargai kerjasama dan komitmen rakan-rakan antarabangsa yang telah memastikan keselamatan petugas warganegara Malaysia dalam situasi genting ini.

“Bantuan dan sokongan mereka sangat bernilai dalam operasi pemindahan yang berjaya ini,” kata kenyataan tersebut.

Ia susulan situasi di Rafah, Gaza yang sangat berbahaya dan tidak menentu hingga petugas EMT telah menghadapi risiko besar demi memberikan bantuan kemanusiaan.

“Usaha mereka dalam menyediakan perkhidmatan perubatan di zon konflik amat dihargai dan dikagumi. Namun, keselamatan mereka sentiasa menjadi keutamaan utama,” tambah kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, KLN juga mengingatkan semua rakyat Malaysia untuk mengelakkan sebarang perjalanan ke zon konflik kerana isiko keselamatan di kawasan tersebut sangat tinggi, dan kementerian perlu memastikan keselamatan warga Malaysia terpelihara pada setiap masa.

Kementerian juga menyeru semua pihak yang mempunyai anggota keluarga atau rakan yang mungkin berada di zon konflik untuk menghubungi pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan bantuan dan nasihat yang diperlukan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat