Nasional

Kibaran Jalur Gemilang di Switzerland satu penghormatan besar – Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly menerusi satu hantaran di Facebook berkata, kibaran Jalur Gemilang di bangunan Dewan Bandaraya adalah suatu penghormatan besar buat Malaysia.

Pada masa sama, beliau yang berada di Switzerland atas urusan kerja sempena Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-77 yang berlangsung di Geneva sangat teruja dengan berkibarnya Jalur Gemilang di sana.

Menurut kenyataan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Presiden Kerajaan Negeri Basel, TYT Dr Conradin Cramer yang menerima kunjungan hormat daripada beliau petang Khamis.

“Sebagai ketua kerajaan negeri, TYT Dr. Conradin Cramer mengalu-alukan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia, berikutan Basel adalah pangkalan kepada beberapa gergasi farmaseutikal antarabangsa yang turut beroperasi di Malaysia.

“Sebagai sebuah konfederasi, Basel dan negeri-negeri lain mempunyai autonomi termasuk dalam bidang kesihatan.

“Daripada segi ini, saya berhasrat untuk meneruskan perkongsian, terutamanya daripada segi model pembiayaan kesihatan yang dipraktikkan di Switzerland,” katanya.

Selain itu, beliau juga mengalu-alukan penglibatan syarikat-syarikat Basel ke Malaysia, khususnya dalam bidang penyelidikan klinikal melalui Clinical Research Malaysia atau lain-lain bidang yang melibatkan teknologi canggih.

“Pelaburan baharu atau perkembangan pelaburan sedia ada adalah penting untuk meningkatkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menjana inovasi, serta memperkaya bidang kesihatan,” ujarnya.

Difahamkan, Malaysia kekal terbuka kepada komuniti pelabur, perniagaan, penyelidik dan akademik yang ingin meneroka peluang yang memberi manfaat kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close