Seorang pendaki dari Malaysia yang terkandas selama tiga hari berhampiran puncak gunung tertinggi di Amerika Utara ditemui maut manakala pasangannya berjaya diselamatkan pada Jumaat.
Pegawai penyelamat berkata, anggota ketiga klumpulan pendaki itu berjaya diselamatkan minggu ini selepas turun ke paras lebih rendah di Gunung Denali di Alaska.
Selepas beberapa hari keadaan cuaca mendung dan berangin, kakitangan dari Taman Negara dan Pemuliharaan Denali dapat menyelamatkan pendaki yang masih hidup semalam pada ketinggian 5,974 meter.
Menurut pasukan penyelamat, mangsa dan pasangannya berlindung dalam gua salji sejak lewat Selasa.
Lewat Khamis, juruterbang helikopter altitud tinggi taman negara itu dapat menjatuhkan beg dengan peralatan bantuan berhampiran gua salji dan melihat seorang pendaki melambai ke arahnya, tetapi angin kencang menghalang penyelamatan pada masa itu.
Jurucakap taman negara itu, Paul Ollig, berkata tidak jelas kepada penyelamat sama ada seorang atau kedua-dua pendaki itu masih hidup sehingga operasi menyelamat pagi semalam.
“Sebahagian besar komunikasi terhad dengan pendaki selepas renjer pertama kali menerima SOS atau panggilan kecemasan daripada pasukan tiga anggota pada 1 pagi Selasa.
“Difahamkan, mereka mengalami hipotermia dan tidak dapat turun selepas mencapai puncak ketinggian 6,190 meter di Denali. Apa yang kita tahu setakat ini ialah seorang pendaki meninggal dunia kira-kira dua hari lalu.
“Pegawai masih mengumpul maklumat mengenai apa yang berlaku dan halangan bahasa turut mencabar,” katanya menerusi e-mel, yang turut mengesahkan pendaki terbabit berasal dari Malaysia.
Pendaki yang diselamatkan pada Jumaat telah dipindahkan ke hospital Anchorage untuk rawatan tambahan dan ‘berada dalam keadaan yang sangat kuat, boleh berjalan sendiri walaupun mengharungi pengalaman amat mencabar.
Kata Ollig, maklumat tambahan mengenai pendaki yang terkorban dan mangsa lain yang terselamat tidak akan dikeluarkan oleh pihak taman negara, sebaliknya akan dilakukan pihak berkuasa.
Tambah beliau, pasukan renjer sudah membuat perancangan bagi membawa turun mayat pendaki yang maut.
Kumpulan pendaki terbabit adalah sebahagian daripada pasukan tiga orang lelaki yang kesemuanya disenaraikan dalam sejarah pendakian sebagai ‘pengalaman mendaki beberapa pucak tertinggi di dunia’.
Kata Olig, dua daripada mereka pernah berpengalaman mendaki gunung Denali sebelum ini. – Agensi