Sebuah kawasan perindustrian di Jalan Omboh, Shah Alam, Selangor disyaki membuang cat sehingga mengakibatkan aliran air Sungai Kandis di kawasan Jalan Sellathevan, Klang berwarna biru.
Terdahulu, kejadian jam 12.30 tengah hari itu dikesan menyebabkan pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) segera ke lokasi dan menjalankan siasatan lanjut.
Agensi itu berkata, siasatan dilakukan sekitar kawasan berhampiran bagi menjejaki punca sebenar.
“Semakan lanjut mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran memasuki longkang berhampiran yang seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.
“LUAS melakukan pensampelan kualiti air dan sampel dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Susulan itu katanya, tindakan lanjut diambil dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 atas kesalahan mencemarkan sumber air.
Pada masa sama, agensi itu juga berkomunikasi dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.
“Kerajaan Selangor dan LUAS menegaskan dan menyeru kepada semua pemilik premis atau tapak industri agar sedar, cakna dan prihatin terhadap aktiviti di tapak.

“Pastikan aktiviti, operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna supaya tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai,” katanya.
Menurutnya, tindakan lanjut akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri.