Walaupun Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) MERCY Malaysia sudah keluar daripada kawasan konflik di Semenanjung Gaza, ia tetap akan meneruskan tanggungjawab menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan kepada komuniti yang berhadapan krisis.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, badan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan itu memaklumkan empat pasukan Pasukan Perubatan Kecemasan (EMT) yang dihantar ke Semenanjung Gaza sebelum ini bagi membantu rakyat Palestin yang memerlukan bantuan perubatan sudah berjaya melaksana tugasnya.
“Setiap pasukan sudah memainkan peranan penting dalam menyampaikan rawatan perubatan kritikal dan bantuan kemanusiaan kepada mereka terjejas dengan konflik yang berterusan di Gaza.
“MERCY Malaysia kekal komited terhadap misinya untuk menyediakan bantuan perubatan dan kemanusiaan bantuan kepada komuniti yang berhadapan krisis, pada masa sama keselamatan dan kesejahteraan sukarelawan kami tetap menjadi keutamaan,” katanya.
MERCY Malaysia juga memaklumkan enam ahli EMT yang berjaya keluar dari zon konflik di Gaza, dijayakan menerusi bantuan dan koordinasi bersama Pasukan Perubatan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO-EMTCC).
“MERCY Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Amman, Jordan. Kehadiran dan sokongan mereka semasa proses keluar memainkan peranan penting.
“Kakitangan kedutaan yang berada di sana bersama-sama dengan pasukan dari ibu pejabat MERCY Malaysia menyambut ahli pasukan sebaik mereka menyeberangi sempadan, memberikan bantuan sangat diperlukan dan memastikan keselesaan mereka sepanjang pemindahan keluar,” katanya.