Polis sita 26 motosikal dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Ipoh

Polis menyita 26 motosikal yang didapati diubah suai pemiliknya sehingga melanggar spesifikasi ditetapkan dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di sekitar Jalan Pasir Puteh (ST.18), Ipoh, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata semua motosikal itu disita atas kesalahan berkaitan pengubahsuaian pelbagai aksesori atau struktur kenderaan di bawah Seksyen 64(1) Akta 1 Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333).

Beliau berkata operasi itu turut menyaksikan empat individu ditahan atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987, dan polis turut mengeluarkan 257 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Seramai 110 individu berumur 14 hingga 36 tahun diperiksa dalam operasi itu, mereka termasuk pelajar sekolah menengah serta pelajar institusi awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan.

Abang Zainal berkata polis akan terus menjalankan operasi bersepadu sebegini dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan undang-undang terhadap sebarang jenayah termasuk samseng jalanan di daerah Ipoh.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat