Banjir: Bomba selamatkan lelaki terperangkap dalam kenderaan

Sebuah kenderaan terjatuh ke dalam parit dan ditenggelami air banjir di Jalan Lukut, Penyulau Kanowit, Sarawak pada pagi Selasa.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak (JBPM) menyatakan kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 2.08 pagi tadi yang melibatkan seorang mangsa.

Menurut Pegawai Bomba Kanan II Awang Johari Awang Onget, seramai tujuh orang anggota bergegas ke tempat kejadian menaiki jentera FRT dan DMAX bagi merentasi air banjir yang tinggi.

“Namun paras air banjir tersebut terlampau tinggi yang menyebabkan pihak bomba tidak dapat melalui jalan tersebut dan PKO Kanowit terpaksa menghubungi balai Polis Kanowit bagi memohon bantuan kenderaan polis yang lebih tinggi.

“Pasukan polis bersama kenderaan tiba di tempat kejadian dan didapati kenderaan polis juga tidak dapat meredah banjir tersebut.

“Anggota – anggota terlibat terpaksa berjalan kaki bagi meredah banjir paras pinggang menghampiri mangsa pada jarak 100 meter,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Mangsa tersebut dilaporkan berjaya diselamatkan dan dibawa ke tempat yang lebih selamat.

Baca juga :