Berita sedih dilaporkan bahawa bekas Ketua Perangkawan ke-4 iaitu Datuk Shaari Abdul Rahman telah meninggal dunia pada 3 Jun 2024.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gajah 11, Sungai Buloh, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada 1 Mei 1971, Allahyarham memulakan kerjanya sebagai perangkawan dan pernah dilantik memikul jawatan Pesuruhjaya Banci 2000.
“Antara usaha yang dipelopori beliau adalah memperkukuhkan perkhidmatan jabatan melalui pengukuhan peranan DOSM negeri sebagai barisan hadapan dalam pengumpulan data.
“Beliau juga memperkenalkan penggunaan ICT dalam prosesan dan penghantaran data secara atas talian melalui File Transfer Protocol (FTP) daripada DOSM negeri ke ibu pejabat.
“Selain itu, Allahyarham mempelopori penggunaan Sistem Daftar Pertubuhan (SIDAP) yang dipertingkat dan disesuaikan ke DOSM negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Allahyarham pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Perangkawan Malaysia selama sembilan tahun bermula pada tahun 1995 hingga 2004.
Allahyarham Shaari juga pernah menggalas jawatan penasihat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkaitan bidang statistik selain aktif sebagai Ahli Lembaga Pengarah kepada empat anak syarikat FELCRA.
Baca juga: