Putrajaya akan merealisasikan aspirasi bandar berkenaan untuk diangkat sebagai bandar pintar dan bandar rendah karbon melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Supply Agreement of Renewable Energy (SARE) di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menyatakan kerjasama itu merangkumi pembangunan, penyelenggaraan, penyelidikan dan latihan berkaitan tenaga boleh baharu.
“Ia termasuk pembangunan solar bumbung, kenderaan elektrik dan infrastruktur yang berkaitan, tenaga berkaitan infrastruktur awam serta menjadikan Putrajaya sebagai ‘Living Lab’ bagi teknologi pembangunan dan pengurusan tenaga.
“Kolaborasi ini juga akan memanfaatkan warga Putrajaya melalui pengenalan pakej solar untuk 200 pemilik rumah persendirian terawal di Putrajaya, serta pembangunan Stesen Pengecas Kenderaan Elektrik di sekitar Putrajaya bagi penduduk yang mempunyai kenderaan hibrid atau elektrik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Zaliha turut menyatakan persefahaman ini juga selari ke arah menjayakan visi Bandar C.H.A.S.E, iaitu Clean (Bersih), Healthy (Sihat), Advanced (Maju), Safe (Selamat) dan Eco-Friendly (Mesra Alam).
Bandar C.H.A.S.E tersebut telah diperkenalkan oleh Zaliha pada Februari lalu dalam memastikan kelangsungan dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat khususnya warga Putrajaya.
Baca juga: