Lebih 2,000 wartawan terbunuh di seluruh dunia dengan purata 100 orang setiap tahun dalam tempoh dua dekad, kata Press Emblem Campaign (PEC) pada Selasa, lapor Agensi Anadolu (AA).
“Ini adalah jumlah yang sangat besar,” kata Presiden PEC Blaise Lempen sempena ulang tahun ke-20 kumpulan pemantau yang berpusat di Geneva itu.
“Kebimbangan utama kami adalah kekebalan yang menjadi sifat kebanyakan pelaku jenayah terhadap wartawan,” katanya.
PEC berkata, bahawa puncak tahunan dalam jumlah mangsa sepanjang 20 tahun lepas berkaitan dengan konflik bersenjata.
Konflik-konflik berkenaan termasuk perang di Iraq sejak 2003, perang di Syria sejak 2011, perang di Ukraine pada 2022, dan konflik di Gaza sejak Oktober 2023, kata PEC.
“Konflik Israel-Palestin sejak 7 Oktober 2023 adalah konflik paling dahsyat bagi media dalam tempoh masa yang singkat (lapan bulan), dengan hampir 130 mangsa,” kata PEC.
“Ini adalah setara dengan jumlah mangsa yang direkodkan dalam perang saudara Syria antara 2011 dan 2020 (130 wartawan terbunuh),” katanya lagi.
Secara keseluruhan, Mexico adalah negara paling berbahaya dengan jumlah mangsa tertinggi antara 2004 dan 2023, dengan lebih 200 wartawan terbunuh dalam tempoh 20 tahun.
Negara paling berbahaya seterusnya sejak 2004 adalah Palestin (Gaza dan Tebing Barat), Syria, Iraq, Pakistan, Afghanistan, Filipina, India, Honduras, dan Somalia, menurut kumpulan itu.
Dari sudut positif, PEC menunjukkan kemajuan yang jelas dalam meningkatkan kesedaran tentang masalah ini kepada organisasi antarabangsa dan kerajaan.
Kumpulan itu berkata UNESCO telah merangka pelan untuk keselamatan wartawan, dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta Majlis Hak Asasi Manusia telah menerima pakai beberapa resolusi.
“Walau bagaimanapun, usaha diplomatik ini terus menghadapi kegagalan untuk menghormati undang-undang kemanusiaan dalam konflik bersenjata, yang sepatutnya melindungi orang awam,” kata PEC.
Kempen itu menegaskan ketiadaan siasatan bebas dan kekurangan kemahuan politik oleh pihak berkuasa di negara-negara yang terlibat.
PEC telah mendapat status perundingan khas dengan PBB sejak 2010. Ia dikendalikan oleh jawatankuasa pemandu yang terdiri daripada 10 ahli dan mengekalkan rangkaian koresponden di seluruh dunia.
Pada 2 Jun, PEC menyatakan kebimbangan tentang tanda-tanda penapisan politik dan penganiayaan terhadap wartawan di Ukraine di tengah-tengah pencerobohan besar-besaran oleh jiran mereka, Rusia.
“Amalan terhadap wartawan yang telah mula digunakan oleh pihak berkuasa Ukraine melangkaui langkah berjaga-jaga yang diperlukan dalam masa perang,” kata PEC dalam satu kenyataan. – Bernama – Anadolu