Polis berjaya memberkas dua lelaki warga tempatan selepas dipercayai melarikan telefon bimbit di sebuah premis pukul 4.15 petang di Ulu Tiram, Johor pada Isnin.
Kes tersebut dikesan menerusi video tular berdurasi 1 minit 23 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun media sosial @update11111 di platform X.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak memaklumkan, dua suspek warga tempatan itu telah berjaya diberkas pada hari yang sama kira-kira pukul 5.10 petang.
Mohd Sohaimi berkata, suspek berusia 32 dan 38 tahun itu telah ditahan di tepi jalan berdekatan kawasan Ulu Tiram.
“Polis turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y16ZR, satu unit kunci kawalan jauh dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu kedua-dua suspek telah pun ditahan reman selama empat hari bermula 4 Jun hingga 7 Jun.
Tambahnya, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai enam rekod kesalahan dadah dan lima kesalahan jenayah.
“Saringan awal air kencing mendapati kedua-dua positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.
Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seskyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Justeru, orang ramai diminta melaporkan kepada pihak polis dan menyalurkan sebarang maklumat kejadian jenayah bagi membantu siasatan.
Baca juga: