Aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Bakap, Taman Beduk Indah, Sungai Bakap, Pulau Pinang pada pukul 10.04 malam hari Khamis.
Mangsa, Mohamad Shahhanaz Nazarudin, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PBK II (KUP) Mat Hussein Ismail melaporkan kemalangan berlaku selepas kereta jenis Proton Waja yang dipandu mangsa telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
“Mangsa yang ditemukan tersepit di ruangan pemandu telah dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan menyelamat.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Operasi tersebut melibatkan seramai lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap bersama jentera FRT dan kenderaan RRV.
Dalam pada itu, KEADILAN mengeluarkan kenyataan menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham di samping menitip doa agar rohnya dicucuri rahmat.
“KEADILAN kehilangan seorang anggota yang sangat aktif di lapangan. Salam takziah buat keluarga Mohamad Shahhanaz Nazarudin.
“Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” kata kenyataan tersebut.
Baca juga: