Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Atiqah Syairah Shaharuddin mengucapkan sekalung penghargaan kepada Buletin Utama TV3 yang telah menarik balik laporan berkait isu pengajaran sains dan matematik di beberapa sekolah di Pulau Pinang pada Khamis.
Menerusi satu kenyataan, beliau menasihatkan mana-mana pihak agar lebih berhati-hati dalam memainkan sentimen bahasa dan kaum yang sentiasa menjadi ejen provokasi untuk ditunggang oleh Bersatu dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam menakutkan rakyat dan memburukkan Kerajaan Perpaduan.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) secara berterusan memberi ruang untuk semua pihak melalui pertemuan bersama Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) Sekolah Cina Pulau Pinang, memberikan penerangan dan menerima maklum balas.
“Bantahan terhadap pengendalian Dual Language Programme (DLP) tidak sepatutnya menjadi medan ahli-ahli politik khususnya dari parti blok kerajaan memandangkan ini panduan yang telah ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Surat Pekeliling Iktisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 3 Tahun 2020,” katanya.
Dalam pada itu, pelaksanaan DLP yang menjadi polemik tersebut merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Beliau berkata, Lim Guan Eng juga disaran supaya tidak lagi terimbau dengan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin yang juga telah memansuhkan PPSMI pada zamannya.
“Ahli Majlis Pimpinan Bersatu, Razali Idris juga dilihat ibarat pucuk dicita ulam mendatang kerana pengumuman ini dapat digunakan sebagai modal politik dalam PRK Sungai Bakap kelak.
“Saranan saya untuk semua pihak tidak terperangkap dalam permainan sentimen cetek kerana ingin mempertahankan kedudukan politik masing-masing dan lupa akan usaha bersama yang mesti kita pikul untuk membina negara,” katanya lagi.
Justeru itu, tambahnya, anak-anak berhak untuk mewarisi dasar pendidikan yang stabil dan lestari demi kesejahteraan masa depan mereka serta Malaysia yang makmur dan harmoni.
Baca juga: