JIM Perak tahan 29 warga asing menerusi Ops Mahir dan Ops Sapu

Seramai 29 warganegara asing ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak dalam dua operasi penguatkuasaan yang dilakukan di lokasi yang berbeza pada Khamis.

Pengarah Imigresen Negeri Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik melaporkan dua operasi merupakan Operasi Mahir dan Operasi Sapu yang dilaksanakan di sekitar daerah Kinta, Perak.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 12 orang lelaki warga Bangladesh, enam orang lelaki serta dua orang wanita warga Indonesia dan sembilan orang lelaki warga Myanmar yang berusia dalam lingkungan 17 hingga 53 tahun.

“Selain warganegara asing, pihak JIM turut menangkap seorang lelaki warganegara Malaysia untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Meor Hezbullah berkata, kesemua yang ditahan telah melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk ke Malaysia tanpa pas yang sah dan Sensyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

Warga asing yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ipoh untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut proses undang-undang.

Secara keseluruhannya, pemeriksaan telah dijalankan terhadap 100 orang warganegara asing.

Operasi tersebut melibatkan seramai 56 orang pegawai Imigresen dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA).

Dalam pada itu, JIM Negeri Perak menyeru majikan untuk tidak menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat