Kerajaan wajar tubuh Jawatankuasa khas tangani isu warga tanpa negara di Sabah – AMK

Angkatan Muda Keadilan bersama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menyarankan kerajaan supaya menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu kewarganegaraan di Sabah.

AMK dan MKM menerusi satu kenyataan pada Isnin berkata, isu warga tanpa negara khususnya membabitkan Bajau Laut adalah perkara kompleks.

Katanya, mereka berdukacita dengan pengusiran dan pemusnahan beberapa kampung komuniti Bajau Laut baru-baru ini yang bukan saja bertentangan dengan nilai manusiawi tetapi juga mencemarkan nama negara.

“Isu ini memerlukan penyelesaian bersifat konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan setempat khususnya rakyat negeri Sabah.

“Untuk rekod, rata-rata Bajau Laut adalah warga tanpa negara dalam erti kata orang tiada kewarganegaraan di mana-mana negara. Menurut anggaran aktivis lapangan satu pertiga populasi Sabah adalah warga tanpa negara.

“Justeru, usaha dalam mendepani permasalahan ini, kami mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif,” katanya.

Terdahulu, NGO Borneo Komrad mendakwa etnik Bajau Laut di Semporna, Sabah diusir pihak berkuasa dengan rumah atas air yang dihuni mereka diroboh dan dibakar.

Pengasas Borneo Komrad Mukmin Nantang mendakwa operasi itu melibatkan etnik Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, antaranya Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat dan Pulau Sibuan.

Sementara itu, AMK dan MKM berkata mereka yakin penyelesaian isu kewarganegaraan adalah keutamaan buat kerajaan ini.

Difahamkan, usaha itu perlu dibuat demi mengangkat rukun ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang oleh Parti Keadilan Rakyat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat