Nasional

PAS nafi subsidi diesel boleh bantu kurangkan ketirisan negara

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Isnin mengumumkan langkah penyasaran subsidi diesel bermula 12.00 tengah malam pada Ahad.

Jelasnya, penyasaran subsidi diesel merupakan antara inisiatif penambahbaikan utama dalam kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan pengurusan kewangan yang mampan.

Hal ini demikian, sebagai langkah memastikan tiada ketirisan dan peruntukan disasarkan kepada golongan yang layak serta memerlukan.

Namun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengambil sikap menolak usaha kerajaan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan negara.

PAS juga dilihat meragui inisiatif kerajaan ini dengan alasan bimbang ia akan memberi kesan negatif kepada rakyat.

“PAS mengalu-alukan matlamat baik yang digariskan kerajaan berhubung langkah ini, namun pada masa sama berasa perlu menyuarakan kebimbangan berkait pelaksanaannya, terutama sekali kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.

“Selain itu, wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah,” katanya.

Menurut Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, inisiatif BUDI MADANI yang dilakukan kerajaan dilihat berupaya memberi impak positif kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Kalau permintaan diesel terus meningkat, ini juga akan beri kesan positif kepada ekonomi sebab harga jualan telah meningkat kepada RM3.35 ringgit seliter sekali gus memberi kesan positif kepada KDNK negara.

“Pemberian subsidi RM200 sebulan kepada golongan yang berkelayakan sememangnya mampu mengurangkan beban rakyat.

“Malah, dengan pengumuman harga baharu diesel ini juga, saya lihat kerajaan mampu membuat penjimatan sebanyak RM4 bilion. Menerusi penjimatan itu, ia boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pembangunan infrastruktur dan lain-lain,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter.

Beliau berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close