Nasional

BUDI MADANI tiada tarikh tutup, gesa individu layak segera mendaftar

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan permohonan bantuan subsidi tunai bulanan berjumlah RM200 di bawah inisiatif BUDI MADANI tiada tarikh tutup.

Inisiatif BUDI MADANI jelasnya dilaksana kerajaan sebagai mekanisme memastikan peruntukan subsidi dapat disasarkan kepada golongan yang layak sekaligus mengurangkan beban golongan yang memerlukan.

Katanya seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan BUDI MADANI yang pertama bermula pada 11 Jun 2024.

“Saya ingin tegaskan, bantuan ini tidak ada tarikh tutup. Oleh itu, saya menyeru kepada mereka yang sememangnya berkelayakan sama ada bagi BUDI Individu atau BUDI Agri-Komoditi untuk memohon bantuan ini.

“Semakan dan rayuan boleh juga dilakukan di laman web yang sama,” katanya dalam sidang media penyasaran subsidi diesel di Putrajaya pada Sabtu.

Justeru beliau mengesa individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi berkelayakan segera memohon bantuan itu bagi memastikan mereka tidak tercicir dari menerima manfaat.

“Bantuan tiap bulan akan dapat dan lagi cepat mereka mohon, Insya-Allah lagi cepat mereka dapat,” katanya.

Ditanya sama ada bantuan RM200 menerusi inisiatif BUDI MADANI ini mencukupi, Amir Hamzah berkata berdasarkan data Jabatan Perangkaan (DOSM), jumlah bantuan itu mampu menampung penggunaan diesel bagi individu.

“… dengan RM200 ia dapat tampung 80 peratus kegunaan individu berdasarkan data (kerana) diesel mileage lebih sikit iaitu antara 75 hingga 100 kilometer sehari, itu cukup.

“Kalau ada isu atau rayuan atau apa mereka boleh buat dan kita kena lihat dari segi kemampuan dan permohonan itu,” tambahnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close