GlobalNasional

MINDEF serah surat setuju terima pembelian tiga Kapal LMS

Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyerahkan Surat Setuju Terima (LOA) pembelian tiga Kapal Misi Pesisir (LMS) batch kedua kepada syarikat pertahanan Turkiye Savunma Teknolojileri Muhendislik (STM), pada Isnin.

Majlis penyerahan itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MINDEF, Dr Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz serta disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Industri Pertahanan Turki, Prof Haluk Gorgun di ibu pejabat STM.

Memetik laporan Bernama, Mohamed Khaled berkata, projek itu mengambil masa kira-kira tiga tahun setengah untuk disiapkan dan Malaysia dijangka menerima keseluruhan tiga kapal berkenaan pada akhir 2027.

“Kita yakin projek ini akan disiapkan dalam masa yang ditetapkan kerana syarikat itu dimiliki oleh kerajaan Turki yang dipengerusikan Presiden mereka, maka jaminan tempoh disiapkan itu ada.

“Dengan perolehan tiga LMS batch kedua ini, diharap dapat membantu kita mencapai 18 kapal diperlukan TLDM. Jadi, pendekatan menyerahkan LOA kepada Turki ini bergantung kepada keupayaan mereka, jika tidak sempat akan menjejaskan segala perancangan,” jelasnya ketika sesi sidang media.

LMS batch kedua merupakan korvet kelas-Ada yang merupakan sejenis kapal peronda dan peperangan antikapal selam (ASW) yang dilengkapi peluru berpandu antipesawat canggih selain, mempunyai sesaran kira-kira 2,500 tan, panjang 99.56 meter (m), lunas 14.42 m dan draft 3.94 m serta dikuasakan oleh enjin Renk Codag 31,640 kW (42,430 hp).

Selain itu, dengan had laju maksimum lebih 26 knot dan jarak pelayaran sejauh 4,000 kilometer pada 14 knot, turut boleh memuatkan 111 anak kapal dan daya tahan maksimum selama 14 hari.

Dalam masa sama, ia turut dilengkapi dengan helipad dan hangar bagi menyimpan serta mengendalikan helikopter ASW atau pengangkut bersaiz sederhana serta pesawat tanpa pemandu (UAV).

Pembinaan dan kelengkapan kapal itu bakal dilakukan di Turki dengan melibatkan kerjasama dari 50 syarikat sektor pertahanan Turki termasuk Aselsan, Havelsan dan Roketsan yang akan disepadukan dengan sistem termaju dan dilengkapi sistem senjata canggih, penderia serta sistem arahan dan kawalan.

Terdahulu, Mohamed Khaled memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara dua kerajaan berhubung perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan Turki-Malaysia.

“Saya percaya pemeteraian MoU ini amat bermanfaat kepada kedua-dua buah negara, terutamanya kepada Malaysia, mengambil kira reputasi Türkiye sebagai ‘powerhouse’ yang mempunyai kekuatan dalam bidang pembuatan teknologi pertahanan dan berjaya memposisi industri pertahanannya.

“Semoga hubungan istimewa antara kedua negara dalam konteks pertahanan ini dapat terus diperkukuh dan membolehkan industri pertahanan negara dibangunkan, mengambil contoh langkah yang diambil oleh Turkiye sekitar 40 tahun yang lalu,”jelasnya menerusi satu hantaran di X.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close