Penjawat awam rugi lebih RM358,000, ditipu tawaran pelaburan tidak wujud

Seorang penjawat awam berusia 37 tahun dipercayai mengalami kerugian RM358,120 selepas tertipu dengan tawaran pelaburan tidak wujud di aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner, Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa tertarik dengan pelaburan itu yang berasaskan saham dari China.

“Pada 25 April 2024, mangsa melayari satu pautan yang dilihat di aplikasi Facebook dan telah disambungkan ke aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan menyatakan minat untuk menyertai pelaburan tersebut dan mangsa dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp a088 Pimco Malaysia Club.

“Mangsa diberi penerangan dan segala informasi untuk memulakan pelaburan di dalam WhatsApp tersebut.

“Bermula pada 25 April 2024 hingga 30 Mei lalu, mangsa membuat 53 kali transaksi pemindahan wang kepada empat akaun bank yang berbeza di mana jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 358,120,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mangsa telah menerima keuntungan daripada pelaburan itu menyebabkannya terus membuat pemindahan wang.

“Mangsa mahu mendapatkan keuntungan yang lebih banyak sehingga berasa ditipu selepas tidak menerima apa-apa keuntungan lagi.

“Mangsa juga membuat carian melalui laman sesawang dan dapati bahawa pelaburan tersebut sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Jelas beliau, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang mana jika disabit kesalahan boleh dihukum sehingga (10) tahun penjara dan sebatan atau dengan denda.

Justeru, orang awam juga dinasihatkan untuk berhubung melalui talian National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat