Sukan

XFOX Market Holdings dan Terengganu FC capai kata sepakat batalkan tajaan

Kelab bola sepak Terengganu FC memaklumkan pihaknya bersedia untuk membubarkan perjanjian penajaan bersama XFOX Market Holdings Sdn Bhd yang mendapat perhatian baru-baru ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan di Facebook, Terengganu FC berkata pembubaran tersebut merupakan atas persefahaman bersama tanpa sebarang tuntutan antara kedua belah pihak.

Sebelum ini, pihak Terengganu FC telah menandatangani perjanjian bersama XFOX Market Holdings Sdn Bhd berikutan kesesuaian Padang Bola Sepak Sintetik XFOX Arena di Subang Bestari yang disediakan pihak berkenaan.

Namun, kemunculan suasana yang kurang sihat dalam media sosial berkenaan perjanjian yang telah dimeterai pada 9 Jun 2024 mendorong pihak Terengganu FC untuk membuat keputusan itu.

“Proses untuk memuktamadkan penajaan ini telah melalui proses yang menjadi kelaziman bagi pihak Terengganu FC seperti penaja-penaja lain.

“Walaupun begitu, setelah tular perjanjian penajaan ini, munculnya suasana yang kurang sihat dalam media sosial dengan pelbagai tohmahan. Ia sekaligus menjejaskan keharmonian kelab,” katanya.

Menurutnya lagi, kerjasama tersebut dipandang dari sudut yang berbeza oleh pelbagai pihak dan kelab itu mendapat simpati daripada pihak penaja dalam suasana ini.

Pembubaran perjanjian ini melihat pemulangan semula bayaran penajaan XFOX sebanyak RM1.5 juta oleh pihak Terengganu FC.

“Pihak Terengganu FC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.

“Bagi pihak Terengganu FC, kami merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama singkat bersama pihak XFOX Market Holdings Snd. Bhd.

“Sementara itu, dalam tempoh yang masih berbaki, pihak Terengganu FC akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja bagi AFF Shopee Cup 2024.

“Semoga dengan keputusan ini akan memberikan keharmonian buat Terengganu FC, XFOX Market Holdings Sdn Bhd dan semua penyokong-penyokong kelab,” ujar kelab tersebut menerusi kenyataan rasmi di laman Facebook rasmi Terengganu FC”, jelasnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close