Negeri

FIM2024 catat potensi pelaburan perniagaan francais RM716 juta

Sejumlah RM716 juta potensi pelaburan perniagaan francais telah dicatat sempena Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2024 (FIM2024) kali ke-31 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian tersebut adalah hasil penawaran pakej perniagaan daripada lebih 100 buah syarikat francais tempatan dan luar negara.

Katanya, FIM2024 kali ini disertai oleh 16 syarikat francais dari luar negara yang terdiri daripada Arab Saudi, Australia, China, Filipina, India, Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Thailand.

“FIM2024 adalah platform terbaik penggiat industri untuk mempromosikan pakej perniagaan francais dan mengembangkan perniagaan di dalam dan luar negara.

“Ia termasuklah hasil perbincangan strategik dengan bakal francaisi dan pelabur yang hadir,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Menurutnya, bertemakan From Network to Net Worth in Franchising, FIM2024 memberi fokus bukan sahaja perluasan perniagaan francais ke peringkat global malah pemantapan pengukuhan ekonomi di dalam negara.

“FIM2024 juga telah berjaya menarik minat usahawan tempatan dan asing untuk menceburi bidang perniagaan francais sebagai cabang pertumbuhan ekonomi.

“Ia dibuktikan menerusi sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 30 ribu pengunjung dengan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Ewon berkata, kementeriannya juga ingin memaklumkan bahawa Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Konfederasi Francais Asia Pasifik (APFC) tahun ini.

“APFC berkenaan akan diserta oleh 22 negara asing dan Mesyuarat Tahunan Majlis Francais Dunia (WFC) bermula 27 hingga 29 Jun ini,” katanya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close