Nasional

Menteri Kesihatan zahir ucapan takziah buat keluarga mangsa keracunan makanan di Gombak

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan ucapan takziah buat keluarga mangsa yang ditimpa musibah keracunan makanan yang berlaku susulan Program Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Peringkat Daerah Gombak.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Dr Ummi Kalthom Shamsudin menyatakan bahawa program tersebut melibatkan sebanyak 30 buah sekolah rendah yang diadakan pada 8 Jun lalu.

“Hasil siasatan mendapati seramai 82 orang telah mengalami gejala keracunan makanan dengan dua kematian daripada 247 orang yang terdedah.

“Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa,” katanya dalam kenyataan.

Antara gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya yang melibatkan urusetia, guru-guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga berumur antara 1 tahun 7 bulan hingga 58 tahun.

Disebabkan gejala keracunan tersebut, dua daripada mangsa yang meninggal dunia termasuk remaja lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 1 tahun 7 bulan.

Ummi Kalthom mendedahkan bahawa kedua-dua mangsa dipercayai telah memakan makanan yang dibawa pulang oleh keluarga mereka daripada program tersebut.

Dalam pada itu, holding sample makanan telah diambil pada hari kejadian dan telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan tersebut.

Pihak JKNS turut menyeru penganjur program dan orang awam untuk lebih berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih dengan mengamalkan konsep lihat, hidu dan rasa sebelum makan atau minum untuk mengelakkan kejadian keracunan makanan daripada berlaku lagi.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close