Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bahawa tiada sebarang tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Melaka terjual atau bertukar hak milik dalam urus niaga sindiket.
SPRM menerusi satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, sehingga kini tiada kakitangan FELDA yang terlibat dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam segala urusan siasatan.
Pada 11 jun lalu, SPRM berjaya menahan lapan individu yang disyaki bersekongkol dengan menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik FELDA.
Menurut sumber, SPRM berkata, lapan individu terbabit melibatkan broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam yang ditahan di Kuala Lumpur dan Sabah berusia lingkungan 20 hingga 50-an.
Katanya, tiga broker bersama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu telah memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.
Susulan itu, tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini telah menyebabkan tanah milik Felda seluas lebih kurang 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka telah dijual pada 2023.
Tambahnya, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.
Difahamkan, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Baca juga: