Nasional

198,046 kenderaan diluluskan subsidi diesel setakat 12 Jun

Jumlah keseluruhan syarikat yang diluluskan subsidi diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) adalah sebanyak 59,940 melibatkan sejumlah 198,046 kenderaan pengangkutan awam dan barangan setakat 12 Jun 2024.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, permohonan SKDS menunjukkan peningkatan kadar harian yang tinggi setelah pengumuman pelaksanaan penyasaran subsidi dan pelarasan harga baharu diesel bermula pada 10 Jun 2024.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merintis perluasan BUDI MADANI : SKDS 2.0 pada 7 Mac 2024 yang pada awalnya hanya terbuka kepada sembilan jenis kenderaan pengangkutan barangan.

“Pada 13 Mei 2024, SKDS 2.0 telah ditawarkan kepada tambahan 14 jenis pengangkutan barangan menjadikan keseluruhan 33 jenis pengangkutan yang terlibat termasuk penerima awal SKDS 1.0 iaitu 10 jenis kenderaan pengangkutan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, KPDN telah menerima keseluruhan permohonan daripada 40,264 syarikat yang melibatkan 156,242 kenderaan sehari sebelum pelarasan harga bermula.

“Kelulusan permohonan meningkat pada kadar tertinggi pada 10 Jun 2024 yang merekodkan 8,584 syarikat melibatkan 19,612 kenderaan pengangkutan awam dan barangan,” katanya.

Ujarnya, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7,097 iaitu sebanyak 477 peratus syarikat dan 16,548 iaitu sebanyak 548 peratus kenderaan berbanding hari sebelumnya yang hanya mencatatkan kelulusan permohonan sejumlah 1,487 syarikat dengan melibatkan 3,028 kenderaan.

Selain itu, beliau berkata kelulusan serta merta boleh diberikan melalui sistem MySubsidi Diesel sebaik permohonan disertakan dengan maklumat lengkap.

Tambahnya, KPDN menjangkakan permohonan akan terus meningkat khususnya sehingga 30 Jun 2024 selaras dengan tarikh akhir pembayaran semula secara tunai kepada penerima SKDS yang masih belum menerima fleet card.

Justeru, KPDN menggesa syarikat pengangkutan yang layak untuk segera membuat permohonan melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my untuk mendapat manfaat subsidi bersasar yang ditawarkan oleh kerajaan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close