Politik

Joohari calon Perpaduan bagi PRK Sungai Bakap

Kerajaan Perpaduan menamakan seorang bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Joohari Ariffin sebagai calon mewakilinya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap, 6 Julai nanti.

Pengumuman calon itu dibuat Pengarah Pilihan Raya Perpaduan yang juga Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pada majlis diadakan di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, malam Rabu.

Menurut Rafizi, Joohari yang lahir di Permatang Pasir, Seberang Perai dan membesar serta mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bakap, dipilih menjadi calon selepas mendapat restu semua pemimpin Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, Joohari amat dikenali di kawasan tersebut kerana selalu terlibat dalam kerja amal dan merupakan seorang anak tempatan.

Majlis pengumuman itu turut dihadiri Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar; Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Chow Kon Yeow; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan; Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan Ketua Wanita Keadilan Fadhlina Sidek.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis lalu menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut. 

Pada PRN Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close