Negeri

Lagi 46 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan di Kuala Pilah

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan telah menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas menggempur 12 lokasi ‘hotspot’ warga asing di sekitar Kuala Pilah pada awal pagi Rabu.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kian, mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 47 tahun.

Penahanan tersebut membabitkan 14 lelaki dan 10 wanita warga Myanmar, lapan lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, empat lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Pakistan, lima lelaki warga India dan seorang lelaki serta dua wanita warga Sri Lanka.

“Semua PATI itu ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 selepas pemeriksaan ke atas 84 individu dari pelbagai negara.

“Ketika operasi dijalankan di salah satu lokasi, terdapat cubaan melarikan diri dengan merempuh pegawai Imigresen yang terbabit serta berlaku adegan meraih simpati dengan merayu kepada pegawai untuk dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun, kesemua yang diberkas dan ditahan oleh pasukan serbuan akan dihantar ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, sebanyak 11 borang saman saksi juga turut dikeluarkan kepada majikan atau penjaga premis untuk hadir ke Jabatan Imigresen Negeri Sembilan bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close