Nasional

Malaysia, Thailand tumpu perbincangan mengenai isu alam sekitar

Pemimpin Malaysia dan Thailand masing-masing menumpukan perbincangan dua hala mengenai isu jerebu rentas sempadan dan pencemaran yang kerap berlaku antara kedua negara jiran tersebut.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad mengadakan perbincangan tersebut ketika memenuhi kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Thailand, TYT Jeneral (Polis) Phatcharavat Wongsuwan.

Perbincangan Nik Nazmi bersama Phatcharavat yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand juga tertumpu kepada perlindungan hidupan liar dan konservasi hutan serta tindakan iklim.

Nik Nazmi turut mengiktiraf kejayaan Thailand melalui pembangunan mekanisme program yang dihasilkan oleh mereka.

“Saya telah mengiktiraf kejayaan Thailand melalui pembangunan mekanisme program Voluntary Emission Reduction mereka.

“Saya juga percaya bahawa ia boleh menjadi asas untuk membangunkan Rangka Kerja Karbon Bersama ASEAN sebagai salah satu agenda Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Nik Nazmi turut menyatakan kerajaan Thailand telah menyatakan sokongan untuk berkongsi kepakaran mereka dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan bekerja melalui Bursa Malaysia, Malaysia Forest Fund (MFF) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

Lawatan kerja Nik Nazmi turut dihadiri oleh delegasinya termasuk Ketua Setiausaha NRES, Datuk Dr Ching Thoo Kim; Duta Besar Malaysia ke Thailand, TYT Datuk Jojie Samuel; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bursa Malaysia Berhad, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengarah Kanan MFF, Suhaini Haron.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close